Wednesday, 10 April 2013

Di mana tandas di masjidil haram? :)

Pengalaman pertama sampai di Makkah sangat mengujakan .  Saya masih ingat bagaimana berdebarnya hati saya apabila bas yang dinaiki dari lapangan terbang terminal haji Jeddah semakin menghampiri Makkah.  Allahuakbar.. Allah sahaja yang mengetahui apa yang bermain dalam hati dan minda saya ketika itu.  Sampai sahaja di hotel, azan isyak berkumandang. Kaum lelaki hanya sempat bersolat di tepi jalan.  Saya terpaksa bersolat di dalam bilik hotel ketika itu, kerana jalan raya menuju ke masjidil haram ketika itu telah dipenuhi jemaah haji.  Suatu pemandangan yang indah melihat situasi ketika itu.  

Selesai semua urusan dan selepas makan malam, kumpulan kami di minta berkumpul di dewan makan.  Kemudian kami di bawa oleh seorang mutawif untuk melakukan tawaf.  Saya melakukan haji ifrad, jadi saya hanya melakukan tawaf qudum ( tawaf selamat datang) selesai tawaf saya melakukan saie haji.  Selesai dua perkara tersebut, kami pulang ke hotel untuk berehat.  Saya masih dalam keadaan antara percaya dengan tidak bahawa saya telah sampai di makkah.  Dalam perjalanam pulang ke hotel, saya berkata kepada suami, "sayang, kenapa saya tak boleh menangis apabila memandang kaabah?".  Suami saya hanya diam dan senyum.

Pagi esoknya kami ke masjid seawal jam 3 pagi. Selepas azan pertama dikumandangkan,  saya mula rasa tak selesa.  Rasa mahu membuang air kecil.  Saya cuba menahan.  Saya fikir nantilah lepas subuh, balik hotel baru buang. Namun makin ditahan, rasa nak membuang semakin menjadi-jadi.  Saya panik sebab saya tak tahu di mana letaknya tandas yang terdekat.  Saya perlu ke tandas untuk melepaskan hajat walau apapun cara. Saya bingkas bangun untuk keluar dari masjid.  Allahuakbar saya terfikir kalau saya keluar, bagaimana mungkin saya dapat masuk semula ke masjid? Waktu subuh semakin hampir, para jemaah mula membanjiri masjidil haram. Saya sampai di pintu 1 masjidil haram.  Saya lihat dataran di luar sudah dipenuhi jemaah.  Hampir mustahil utk saya melangkah keluar melawan arus para jemaah yang berpusu-pusu memenuhi masjid.  Saya terdesak dan mula memberi salam untuk meminta laluan.  Ada yang memberi laluan namun ada juga yg terpaksa dilangkahi kerana enggan memberi laluan mungkin mereka fikir saya mahukan tempat untuk solat. Akhirnya saya sampai di tangga.  Tanpa melihat kiri dan kanan, saya terus menuruni tangga tersebut untuk mencari tandas.  Dalam hati saya berdoa dan memohon perlindungan Allah.  Saya seperti berada di dalam terowong bawah tanah yang gelap. Saya memberanikan diri berjalan dan terus berjalan. Jauh saya berjalan, namun masih belum menemui apa yang di cari.  Saya cuba bertanya seorang jaga yang saya temui. Dia hanya menunjukkan isyarat tangan supaya saya terus berjalan ke hadapan.  Alhamdulillah, akhirnya saya temui tandas setelah berjalan lebih 15 minit.  Rupa-rupanya saya telah sampai di stesen bas di dalam terowong tersebut.  Selesai menunaikan hajat, saya berjalan pantas menuju ke masjid.  Langkah saya laju namun apabila sampai di tangga saya lihat keadaan sangat mustahil untuk saya naik semula ke atas kerana telah ada jemaah yang sudah membuat saf untuk solat di atas tangga tersebut! 
Tiba-tiba azan subuh berkumandang.  Saya lihat org ramai mula membuat saf di dalam terowong tersebut.  Mahu tak mahu saya terpaksa solat subuh di situ tanpa alas atau sejadah.  

Selesai solat, orang mula berpusu-pusu menuruni tangga. Saya terpaksa berlindung di tepi tangga untuk mengelak daripada di langgar atau dihimpit.  Apabila keadaan semakin reda, barulah saya naik dan masuk semula ke dalam masjid.  Ketika itu perasaan saya bercampur baur.  Takut, sayu, sedih bermain-main dalam diri.  Saya pergi ke suatu sudut  yang agak lengang dan merenung kaabah sedalam-dalamnya dan mashaaAllah saya menangis semahu-mahunya ketika itu. Saya mahu menangis di hadapan kaabah. Allah beri keizinan saya menangis. Saya bertekad selepas ini kalau rasa hendak ke tandas saya akan pulang ke hotel sahaja.

Aku, suatu ketika dahulu..

Saya ni dari kecil bersikap kasar. Kadang-kadang lebih dari orang lelaki.  Suatu hari nak jadi cerita, masa tu saya baru dalam darjah 2.  Abah lambat balik rumah tengah hari tu untuk hantar pergi sekolah.. Tunggu punya tunggu dah dekat pukul 1.30.  Sekolah dah mula lebih 10 minit tak silap saya.  Entah kenapa hati ni nekad nak pergi sekolah juga hari tu, dengan yakin saya pun bangun dan sarung kasut. Saya pun mula jalan kaki untuk ke sekolah.  Zaman tu, saya agak ibu bapa tak berapa risau dengan keselamatan anak-anak ketika di luar.  Mungkin juga suasana zaman tersebut berbeza dengan zaman sekarang.  Saya pun berjalan, sambil dalam hati merungut2 sebab kelewatan abah.  Dalam hati sentiasa mempersoalkan macam mana abah boleh lupa nak hantar saya pergi sekolah. Sampai pertengahan kampung, seorang makcik ni tegur saya, " lambat pergi sekolah hari ni".  Saya pada ketika itu masih dalam keadaan tertekan kerana lambat ke sekolah menjawab sepintas lalu sambil menjalan tanpa memandang makcik tersebut.  "Dah nampak orang lambat, tanya lagi.. Ada juga yg kena lempang kang makcik ni" seingat saya, saya cuma berkata sangat perlahan sambil berjalan dengan keadaan muka yang masam mencuka. Pertengahan jalan, betul-betul selepas jambatan di kampung saya, tiba-tiba sebuah motorsikal yang sangat saya kenali berhenti. Lega hati saya sebab tak perlu menapak sampai ke sekolah dan menyeberang jalan besar pekan Tapah. Sampai ke sekolah memang dah sangat lewat.  Saya ni hati kering, masuk kawasan sekolah, saya terus masuk ke kelas dan beritahu cikgu yang mengajar pada waktu itu tentang kelewatan saya. 
     Petang itu, pulang ke rumah macam biasa, saya terlupa tentang peristiwa di tengah jalan dengan makcik tadi.  Sangka saya dia tidak mendengar omelan saya yang pedas tersebut. Tiba-tiba opah panggil saya. " Apa yang kau cakap dongen mak cik *** tongah hari tadi? Soal opah pada saya dalam bahasa rao yang pekat.  Terkejut besar saya. Rupanya orang tua tu dengar apa yang saya katakan. Tapi dalam keadaan terkejut tu, laju je mulut saya menjawab, " Dah yang dia sibuk-sibuk nak tanya dah tau orang lambat, kenapa? Lain kali kan bagus kalau jangan suka menyibuk". Mengamuk opah mendengar jawapan saya.  Saya dengan selamba berjalan terus masuk rumah saya.
Allah itu salah satu peristiwa yang sampai sekarang tak dapat saya lupa tenang kelancangan mulut saya masa kecil dulu. Kenapa begitu? Mungkin kerana saya ni jenis suka memerhati dan mempersoalkan sesuatu yang saya rasa ada sesuatu yang tidak kena pada hemat saya. Persekitaran saya membesar juga banyak membentuk personaliti saya ketika itu. Wallahua'lam