ANUGERAH DAN AMANAH
Assalamualaikum..Tahun ini masuk tahun ketujuh usia perkahwinan saya. Dalam tempoh ini pelbagai pengalaman hidup, suka dan duka saya tempuhi. Dalam tempoh ini juga sudah pasti pelbagai ujian nikmat,kesihatan dan perasaan yang saya hadapi. Kalau hendak dihitung rasanya tidak mampu saya menghitung nikmat yang Allah telah berikan kepada saya. Namun saya di uji dengan satu kekurangan (mungkin itu yang lihat oleh orang lain). Saya yakin bukan saya seorang sahaja yang menghadapi ujian ini.ANAK…Ya, saya agak tertekan memikirkan soal anak. Pada awal usia perkahwinan (mungkin setahun-3 tahun) saya agak tertekan dengan persoalan ini kerana ia melibatkan orang-orang terdekat seperti ibu, ibu mertua, adik-beradik dan rakan-rakan saya. Kekurangan ilmu di dada juga menjadi salah satu faktor menyebabkan saya tidak dapat menerima keadaan ini dengan baik. Lumrah orang yang telah mendirikan rumah tangga akan ditanya tentang anak. Apabila mendapat seorang anak, akan ditanya pula tentang anak kedua dan begitulah seterusnya. Bahkan orang yang sudah mengahwinkan anak juga akan disoal pula tentang cucu. Saya tidak tahu soalan-soalan yang diajukan itu adakah memang ikhlas ingin tahu atau ingin menyatakan kelebihan diri sendiri atau mungkin juga mempersoalkan tentang kekurangan orang lain. Terpulanglah kepada niat orang yang bertanya dan saya hanya perlu bersangka baik.Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambanya. Saya seorang guru sekolah rendah. Ruang lingkup pekerjaan saya bergelumang dengan kanak-kanak yang sedang membesar dan dahagakan ilmu dan kasih sayang. Allah tutup kekurangan saya dengan tanggungjawab yang diberikan kepada saya. Sepanjang 8 tahun saya berkhidmat di sekolah ini, pelbagai ragam kehidupan yang Allah tunjukkan dan ajarkan kepada saya. Itu pada pemikiran saya.Sungguh, anak itu ialah anugerah dan amanah kepada ibu bapa. Kadang-kadang saya sedih melihat anak-anak yang sedang membesar seperti mereka diberikan kasih sayang secara membabi buta oleh ibu bapa. Maksud saya anak-anak yang dibiarkan melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki dan diberikan apa sahaja yang mereka ingini. Mereka adalah amanah yang akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak. Cubakita fikirkan bagaimana seorang anak yang hanya berusia 9tahun boleh meraba dan memegang kemaluan rakan perempuannya, seorang murid berumur 11 tahun menulis tentang fantasi seks dengan guru tuisyennya, seorang anak yang berusia 8 tahun boleh mencabar guru supaya memukulnya dengan muka yang langsung tiada rasa takut atau bersalah. Baru-baru ini suatu insiden yang melibatkan kelas saya telah berlaku. Awal-awal pagi beberapa orang anak murid saya mengemukakan aduan berkenaan kelas kami yang telah disabotaj. Kerusi meja tunggang-langgang, perhiasan-perhiasan di dalam kelas habis ditarik dan dikoyak-koyakkan. Saya agak marah menerima berita itu, namun saya hanya minta mereka mengemas semula kelas sebelum sesi pembelajaran pada hari itu berlangsung. Keesokkannya perkara yang sama berlaku lagi dan kali ini lebih teruk lagi. Saya adukan hal ini kepada pentadbir. Petang itu, saya dipanggil ke pejabat. Rupa-rupanya dalang yang melakukan kerja-kerja ‘sabotaj'itu telah ditangkap oleh guru disiplin sesi petang semasa mereka melakukan operasi yang kedua. Empat orang murid tahun 3 yang melakukan perkara itu. Saya diminta untuk menyatakan kerugian dan gantirugi yang ingin dituntut kerana ibu bapa murid-murid berkenaan telah dipanggil. Saya keluar dari pejabat.Guru disiplin petang mengekori saya kerana ingin menyatakan sesuatu kepada saya. Menurut cikgu tersebut salah seorang murid yang tertangkap, baru kehilangan ibu tersayang pada tahun lepas dan ayahnya telah berkahwin lain. Di rumah murid ini memang sudah lali dengan sepak terajang ayahnya. Dia memberontak dan sangat tidak puas hati atas kematian ibunya. Seorang lagi ialah anak seorang banduan dan tinggal bersama ibunya. Memang anak yang terabai dan selalu melakukan perkara-perkara yang akan menimbulkan kemarahan guru untuk menarik perhatian. Menitis air mata saya mengenangkan nasib anak-anak ini. Saya nyatakan kepada cikgu disiplin itu, saya tidak mahu ganti rugi. Cuma nyatakan kepada ibu bapa mereka didiklah anugerah Allah yang diberikan kepada mereka sebaik-baiknya.Sebenarnya peristiwa inilah yang menguatkan lagi perasaan saya untuk menulis perihal amanah yang semakin dipandang mudah oleh masyarakat kita sekarang ini. Amanah ini bukan hanya perlu diberi makan dan minum jasmaninya tetapi rohani mereka dibiarkan kelaparan sehingga menyebabkan kebuluran dan kematian. Zaman anak-anak ini serba mencabar seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih. Peranan ibu bapa juga saya lihat semakin mencabar. Kalau dulu ibu saya yang mempunyai 11 orang anak tidak perlu risau ke mana anak-anaknya pergi bermain, kerana tepat pada masanya kami akan balik ke rumah. Sekarang ini langkah anak-anak ini lebih panjang, kenalan dari seluruh dunia. Mungkin ada yang keluar dan tidak balik-balik lagi.Siapalah saya untuk memperkatakan tentang peranan ibu bapa. Tidak, saya bukan hendak mengajar ibu bapa bagaimana untuk mendidik anak-anak. Namun saya hanya ingin memohon supaya semua ibu bapa menjaga anugerah dan amanah ini sebaik-baiknya. Kita bukan hanya perlu memberikan ilmu dunia secukupnya ,tapi ajarkan ilmu akhirat sebanyak-banyaknya kepada mereka. Perjalanan hidup kita ini adalah untuk menuju ke dunia yang kekal abadi. Mungkin Allah belum mahu memberikan amanah ini kepada saya supaya saya dapat membaiki kelemahan diri saya yang terlalu banyak. Saya yakin kini, saya dan sesiapa sahaja yang senasib dengan saya tidak perlu bersedih. Sabagai manusia kita hanya perlu berdoa dan berdoa kerana saya yakin Allah Maha Mendengar dan Maha Pemberi.
No comments:
Post a Comment